Selepas Dr Tholib membacakan tajuk yang akan di pelajari/dikaji pada hari itu, semua pelajar dalam kelas tiba-tiba seperti mendapat semangat. Semangat gaya orang yang ingin berjihad. Dr tersenyum melihat perubahan ank didiknya, dan berkata, “kamu semua berada di Universiti Mu’tah, kamu semua berada di Mu’tah, atau dikenali sebagai Karak, tempat berlakunya peperangan Mu’tah”. Semua menanti baris-baris kata yang akan keluar dari bibir mulut seorang Dr yang di segani ramai.
Perang Mu’tah berlaku pada Jamadil awal tahun ke 8 Hijrah. Mu’tah berjiran dengan negara Syam dan Mu’tah juga dikenali pada hari ini sebagai Karak. Perang ini terjadi kerana berlakunya pembunuhan Harith bin ‘Umair Al-Azdi, utusan Rasulullah kepada Raja Busro. Bilangan tentera muslimin pada peperangan ini adalah seramai 3000 orang . Rasulullah tidak menyertai perang ini dan baginda bersama sahabat yang lain tinggal di Madinah.
“Ketua kamu sekalian adalah Zaid bin Harithah, jika Zaid gugur maka Ja’afar bin Abu Talib menggantikannya. Jika Ja’afar gugur, maka Abdullah bin Ruwahah menggantikannya. Jika Abdullah gugur, hendaklah kalian memilih orang yang kalian suka menjadi ketua kalian”, sabda Rasulullah kepada tentera muslimin sebelum mereka meninggalkan Madinah.
Abdullah bin Ruwahah menangis ketika hendak keluar Madinah, lalu orang bertanya, “Apakah yang menyebabkan kamu menangis?”. Jawabnya, “demi Allah, tidak ada sedikit pun pada saya perasaan cinta akan dunia, dan tidak juga sedih kerana meninggalkan kamu semua, yang membuatkan saya sedih kerana mendengar Rasulullah membaca satu ayat dari kitab Allah menyebut neraka, iaitu firman Allah :
وإن منكم إلا واردها كان على ربك حتما مقضيا
“Dan tiada seorang pun daripadamu melainkan mendatangi neraka itu. Keadaan itu bagi Tuhanmu merupakan suatu kemestian yang telah ditetapkan.”
Semasa mereka bertolak, orang-orang muslimin melaungkan, “Allah menemani kamu dan mempertahankan kamu dan mengembalikan kamu kepada kami dalam keadaan baik”.
Sebaik sahaja mereka tiba di Ma’an iaitu sebuah pekan yang terletak lebih kurang 100 kilometer dari Mu’tah, tentera musuh telah mendengar kemaraan tentera Islam di mana dengan segera panglima perang musuh, Harcules mengumpul bala tentera lebih seratus ribu orang disamping Syurahbil pula mengumpul seramai seratus ribu bala tentera yang lain hasil gabungan qabilah Lakham, Juzam, Balqin dan Bahara’.
Apabila tentera muslimin mendengar berita mengenai jumlah tentera musuh yang begitu ramai, maka tentera muslimin telah berbincang dan memikirkan apa yang harus di lakukan. Ada diantara mereka mencadangkan supaya di maklumkan kepada Rasulullah, tetapi Abdullah Rawahah menolaknya dan memberangsankan mereka supaya terus berjuang. Katanya, “wahai orang-orang muslimin, demi Allah, apa yang di takutkan? Untuk apa kita harus keluar ini? Tidakkah dengan tujuan syahid? Kita berperang bukan kerana berdasarkan bilangan tentera, bukan kerana dengan kekuatan, tetapi kita berperang kerana menegakkan Islam, dengannya kita mendapat kemuliaan dari Allah. Ayuh maju ke hadapan! Satu dari dua kejayaan sudah pasti akan tercapai, iaitu menang atau syahid”
Kemudian bertemulah tentera muslimin dengan musuhnya. Berhadapanlah dua pihak yang bertarung, yang tidak seimbang jumlah tenteranya dan senjatanya. Zaid bin Harithah memegang panji dan terus berjuang. Beliau gugur syahid di tikam musuh. Kemudian Ja’afar bin Abu Talib mengambil bendera dan memimpin bala tentera muslimin menggantikan Zaid. Ketika berjuang, Jaafar bermadah dengan suara yang lantang, maksudnya :
Alangkah indahnya Syurga,
Nah, kita telah hamper kepadanya,
Syurga yang serba baik isinya,
Sejuk nyaman airnya,
Enak minumannya,
Tibalah sudah,
Azab ke atas bangsa Rome,
Rome bangsa kafir,
Yang memerangi pasti saya.
Ja’afar berjuang sehingga beliau gugur, dan pada mayatnya terdapat 50 bekas tikaman disebelah hadapan. Setelah gugurnya Ja’afar, maka Abdullah bin Ruwahah menggantikannya untuk mengetuai bala tentera muslimin dan membawa panji. Beliau juga bermadah dengan suara yang lantang, yang bermaksud :
Oh hatiku, oh hatiku,
Engkau harus mara, samada dipaksa atau rela,
Hidupmu yang tenang telah kebelakang,
Kenanglah,
Engkau sebenarnya berasal dari setitis mani,
Lihat disana musuh-musuh kafir yang sedang mara,
Ke arah muslimin, seolah-olah di tarik,
Apakah engkau tidak rindukan Syurga?
Andainya engkau terbunuh,
Mati juga akhirnya engkau.
Akhirnya Abdullah juga gugur syahid di medan perang. Setelah itu, dengan persetujuan bala tentera, Khalid Al-Walid di lantik menjadi ketua untuk mengetuai bala tentera muslimin. Khalid terus mengempur musuh sehinga kucar-kacir jadinya. Dalam keadaan kucar-kacir, Khalid menyelamatkan bala tentera muslimin dengan membawa mereka kembali ke Madinah.
Bukhari meriwayatkan, Rasulullah mendapat tahu berita kematian Zaid, Ja’afar, dan Abdullah sebelum sampai berita dari bala tentera muslimin. Sabda Rasulullah : “Zaid mengambil bendera, gugurlah dia. Kemudian disambut oleh Ja’afar, dia juga gugur. Kemudian di sambut Abdullah, dia juga turut gugur. “ Rasulullah bersabda sambil air mata mengalir, “kemudian di ambil oleh salah seorang pedang Allah, maka Allah memberi kemenangan kepada mereka”.
Khalid Al-Walid telah mengumpul tentera muslimin kemudian mereka bermalam. Keesokan pagi Khalid mengubah strateginya, tentera yang sebelah kanan, di arah supaya mara ke kiri, manakala tentera yang sebelah kiri di arah untuk mara ke kanan. Dengan itu, pihak musuh menyangka pihak muslimin mendapat pertolongan dengan bantuan tentera baru, maka Khalid menyerang pihak musuh sehingga musuh terpaksa berundur lari. Disini Khalid tidak mengejar tetapi mengarahkan tentera muslimin pulang ke Madinah, dan itulah kemenangan yang besar.
No comments:
Post a Comment