Sering kita mendengar orang bertanya, “apakah bekalan kamu untuk menghadapi kematian?”. Tapi kita jarang mendengar orang bertanya, “apakah bekalan kamu untuk kehidupan?” Ya, apakah bekalan kita untuk sebuah kehidupan? Kehidupan yang akan kekal abadi. Selamanya. Kehidupan selepas kematian, kehidupan yang tidak ada lagi kematian. Apakah amalan kita? Cukupkah?
Rasulullah s.a.w pernah mengungkapkan keutamaan amal jariah di antara semua jenis kebajikan, iaitu pahalanya tetap mengalir walaupun orang yang melakukannya telah tiada (wafat). Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Apabila meninggal anak cucu Adam (manusia), maka terputuslah amalnya kecuali tiga hal sahaja iaitu sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaatnya oleh manusia, dan anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (Riwayat Ahmad).
Kita tidak punya anak (bagi yang bujang seperti ana) yang soleh, yang boleh mendoakan kita. Allah.. Semakin hari, kematian semakin hampir, kita semakin leka dan lena dengan tipu daya dunia. Allah.. Sedekah pula, amatlah jarang kita berikan. Harga barang-barang harian semakin meningkat, semakin liat untuk kita bersedekah. Allah..
Ayuh sahabat-sahabat! Kita memperbaiki diri kita, menjadi yang lebih baik, menyiapkan diri dengan sebenar-benar persiapan untuk sebuah kehidupan kekal. Mencari Keredhaan Allah, Rahmat Allah. Masa muda ini kita lakukan amal ibadah sebanyak yang mampu, kita bersedekah semampu kita. Tidak rugi kita luangkan masa untuk ibadah, kerana Allah janjikan ganjaran yang besar. Namun, apa yang kita iginkan dan carikan adalah Redha dan Rahmat Allah yang sebenarnya.
Baginda bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya amal soleh yang akan menyusul seorang mukmin setelah dia meninggal dunia kelak ialah ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan, anak soleh yang dia tinggalkan, mushaf Al-Quran yang dia wariskan, masjid yang dia bangun, rumah tempat singgah musafir yang dia dirikan, air sungai (irigasi) yang dia alirkan, dan sedekah yang dia keluarkan di kala sihat dan masih hidup. Semua ini akan menyusul dirinya ketika dia meninggal dunia kelak.” (Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi)
Kita baiki niat kita, kita baiki ibadah kita. Kita bukan beribadah kerana takut akan neraka Allah, dan kita bukan beribadah kerana syurga Allah. Tetapi kita beribadah kerana ingin mendapatkan Redha Allah, Rahmat Allah. Doa Rabiatul Adawiyah:
“Ya Allah! Jika aku menyembahMu kerana takut kepada neraka bakarlah aku di dalam nerakaMu. Dan jika aku menyembahMu kerana mengharapkan syurgaMu, campakkanlah aku keluar daripada syurgaMu. Tetapi jika aku menyembahMu demi Engkau semata, janganlah Engkau enggan memperlihatkan wajahMu yang abadi kepadaku.”
-wallahu'alam-
No comments:
Post a Comment