RSS

Saturday, December 21, 2013

Tahniah dan Takziah

Pilihanraya Kampus Mahasiswa Jordan (Mu'tah) 2013/2014



Baharu sahaja pilihanraya kampus berlangsung di kalangan mahasiswa Jordan. Terutamanya di mu'tah. Kebanyakan status (facebook ataupun tweeter) sahabat-sahabt sehari dua sebelum ini, tidak lari dari berkempen calon pimpinan masing-masing. Pelbagai medium yang di guna pakai untuk berkempen. Video. Fan page. Esei. Penulisan fakta. Penulisan santai. Mahupun secara live, a.k.a berborak di luar (restoran, pasar, jamiah, masjid). Hari mengundi telah pun selesai, pengiraan undian  telah pun di kira, keputusan twlah pun muktamad. Pengarah pilihanraya telah pun mengumumkan siapa yang menang dalam bertanding. 

TAHNIAH dan TAKZIAH terlebih dahulu saya ucapkan kepada sahabat-sahabat yang menang bertanding. Moga kalian mampu memandu dan mengemudi PERMATA ke arah yang lebih cemerlang dan gemilang! Kemenangan kalian merupakan tanda kepercayaan sahabat-sahabt terhadap kalian untuk mengemudi kami semua di bawah Persatuan Mahasiswa Malaysia Mu'tah (PERMATA). Kemenangan kalian juga merupakan harapan kami semua! Kalah atau menang, itu semua takdir yang telah Allah tetapkan. Saya yakin, antum semua telah pun sematkan kata itu dalam hati masing-masing. Saya yakin, doa kalian sebelum ini, kalah atau menang, semoga Allah letakkan dan takdirkan yang terbaik buat kalian semua. 

Doa kalian Allah telah pun makbulkan! Allah telah letakkan dan takdirkan kalian dengan takdir yang terbaik buat antum. Kini kalian pemimpin kepada kami. Jangan pandang jawatan itu satu keburukan. Jangan pandang jawatan itu merupakan perkara yang negatif! Semua sedia maklum, jawatan itu merupakan amanah, dan amanah itu ringan di dunia, berat di akhirat. Berlapang dada lah! Pandanglah ia sebagai ruang kebaikan yang boleh kalian hulurkan. Pandanglah ia sebagai ruang untuk kalian berkebajikan kepada ummah! Namun, perlu juga sentiasa di ingatkan, jawatan ini bukan untuk kalian gahkan. Bukan jua untuk kalian banggakan. Ia merupakan suatu amanah yang perlu di pikul. Tunaikanlah ia dengan cermat!


"لا يكلف الله نفسا إلا وسعها"  

"القيادة ليس التشريف ولكن التكليف"  




Tidak perlu untuk saya nukilkan dengan panjang lebar, kerna saya yakin antum mampu mengemudi bahtera PERMATA kearah yang lebih cemerlang dan gemilang! Selamat menjalani tugas dan selamat berkhidmat untuk kita semua! Tahniah dan takziah sekali lagi.


"حاسبوا أنفسكم قبل ان تحاسبوا"


...والله أعلم




Nik Faiz Azlan
Ahli biasa,
Persatuan Mahasiswa Malaysia Mu'tah,
Majlis Perwakilan Mahasiswa Jordan, 
Mu'tah, El - Karak, Jordan.

Thursday, December 12, 2013

Jamak dan Qasar

                
                                         - gambar hiasan semata mata -




Saya yakin, semua orang sudah kenal apa itu Jamak dan apa itu Qasar. Jamak dan Qasar adalah berbeza. Syarat qasar adalah, bermusafir sejauh 2 marhalah, iaitu lebih kurang 90km. Tidak kira samada perjalanan itu dengan kapal terbang, kereta atau lain-lain. Samada Jamak pula ianya dibolehkan walaupun ketika tidak bermusafir. Kebiasaan orang yang Qasar, akan Jamak kan solatnya juga. Namun tidak semestinya orang yang Jamak solat boleh Qasarkan solatnya. 


Siapa yang boleh Qasar? Hanya orang yang bermusafir sejauh 2 marhalah atau lebih. Bermusafir kepada perkara yang bukan maksiat. Selama mana boleh solat Qasar dan Jamak? Sekiranya seseorang bermusafir ke suatu tempat yang ingin dia bermastautin, hanya dalam perjalanan sahaja yang dibenarkan untuk Qasar dan Jamak solatnya. Setibanya di destinasi, dia tidak boleh lagi untuk Qasarkan solatnya kerana dia bermastautin di situ. Tidak kiralah walaupun perjalanannya memakan masa seminggu sekali pun!

Sekiranya dia bermusafir ke suatu tempat dan akan tinggal di tempat tersebut dalam tempoh 3 hari, dia boleh untuk Qasar dan Jamak solatnya selama 3 hari tersebut. Dan dia juga boleh untuk Jamak dan Qasar ketika dalam perjalanan pulang ke tempatnya. Ini adalah salah satu pandangan dalam mazhab Syafi'e. Namun masih ada lagi pandangan dalam mazhab Syafi'e tersendiri yang membolehkan Jamak dan Qasar walaupun menetap di tempat tersebut sehingga 18 hari.

Sekiranya dia bermusafir ke suatu tempat dan akan tinggal di tempat tersebut melebihi 3 hari, hal ini sebenarnya sangat luas dan ada pelbagai pandangan. Sekiranya kita berpegang kepada pandangan yang mengatakan hanya 3 hari tempoh untuk Qasar dan Jamak solat, maka jawapannya, tidak boleh untuk kita Qasar dan Jamak setibanya di destinasi. Kerana kita dikira bermastautin di tempat itu. Itu berdasarkan satu pendangan.

Namun, pandangan yang lain pula, sekiranya kita berpegang kepada pendapat (selain mazhab Syafi'e) yang membolehkan Jamak dan Qasar walaupun berada di tempat tersebut selama 7,9,10,11,13,15,17 atau pun 20 hari, maka kita masih lagi boleh untuk Jamak dan Qasar selagi mana urusan kita belum selesai di tempat tersebut. Bilangan hari tersebut adalah berdasarkan sirah nabi yang di riwayatkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah berdasarkan permusafiran nabi bersama sahabat.

Sayyid Sabiq pula ada menjelaskan mengenai permusafiran Rasulullah ke Tabuk dan baginda menetap di sana selama 20 hari dan baginda Qasar dan Jamak solatnya. Hal ini di jelaskan oleh Sayyid Sabiq, keberadaan Rasulullah di Tabuk selama 20 hari hanyalah kebetulan. Dan bukanlah bermakna hanya 20 hari sahaja tempoh yang di benarkan untuk Jamak dan Qasar. Selagi mana bermusafir ke suatu tempat tanpa niat ingin menetap di sana, di bolehkan Qasar dan Jamak sehingga urusan selesai dan sekembalinya ke tempat asalnya.


Pada pendapat saya (peribadi), sekiranya kita terlibat dengan suatu program/urusan yang memerlukan kita bermusafir dan memerlukan kita bekerja, memberi tumpuan yang banyak, dan menjadikan kita sedikit kesibukan, maka di bolehkan Qasar dan Jamak solat walaupun ianya berlangsung selama seminggu atau dua minggu. Kerana pendapat saya, kebiasaan program atau urusan yang tidak memerlukan kita pindah dan bermastautin di tempat itu dapat di selesaikan tidak melebihi 2-3 minggu.


Jamak pula, tidak semestinya kita perlu bermusafir. Jamak dalam solat boleh berlaku ketika mana kita berada dalam keadaan seperti ; 

1. Doktor/pesakit perlu menjalani pembedahan yang memakan masa yang lama, contoh dari jam 12 tengahari sehingga 6 petang.

2. Masyarakat yang berada dalam situasi/keadaan bencana besar dan berada dalam situasi yang kritikal. Contohnya gempa bumi, banjir, taufan dan lain-lain.

3. Orang yang terlibat dalam program/urusan yang terlampau sibuk dan memerlukan pantauan nya berterusan.

Dan lain-lain keadaan yang perlu kepada Jamak bagi meringankan urusan nya. 


Wallahu'alam..


Nik Mohamad Faiz
Fiqh wa Usuluh, 
Faculty of Shariah,
Mu'tah University,
The Hashemite Kingdom of Jordan.

-11122013

- Aturan Allah - nikmat dari Nya!

Hujan rintik-rintik makin berkurang, aku tekad untuk menempuh perjalanan dari Sepang ke Senawang. Destinasi nya JPJ Senawang. Jaraknya hanyalah 54 km. Motor tua Honda Wave 125 menjadi tunggangan aku, helmet tidak bervisor aku capai. Tiga empat kali aku cuba menghidupkan enjin motor. Alhamdulillah, masih hidup! Walaupun sudah lama terbiar tidak digunakan.

Masa dalam perjalanan, hujan rintik-rintik makin bertambah. Aku tiada pilihan memandangkan aku tidak punya baju hujan, terpaksa berhenti di stesen minyak Petron di Nilai. Menunggu hujan reda. Lama. Baru separuh perjalanan! Sang awan pula seolah-oleh memberitahu ; "kejap laagi hujan makin lebat!" Aduh, parah! Arghh! Aku meneruskan perjalanan, 'membelah' hujan rintik-rintik yang semakin bertambah. 

Lebuhraya Utara - Selatan aku masuki dari Nilai. Menghala ke Johor Bahru. Kereta, lori, trailer, semuanya laju. Hujan pula sudah lebat turunnya. Kelajuan aku kena perlahankan dek rasa pedih di muka. Helmet tidak bervisor! Lane kiri motor tua itu meluncur di lebuhraya. Sesekali tengok di belakang melalui side mirror, trailer dan lori laju menghampiri. Allah, terasa bagaikan maut sedang mengejar! Semakin dekat, semakin kuat aku memulas minyak. 

Sekali lagi aku berhenti di R&R Seremban dek tak tahan pedih di muka. Aku cuba untuk tunggu hujan reda, namun hampa. Aku teruskan perjalanan, dalam kebasahan dan menahan kepedihan muka, aku teringat akan firman Allah dalam Al-Furqan, "berdoalah kepada Aku (Allah), nescaya aku akan qabulkan." Lalu aku berdoa ; "Ya Allah, ampunkanlah dosa hamba Mu ini, hamba Mu ini mohon supaya Engkau hentikan hujan buat sementara, supaya hamba Mu ini dapat meneruskan perjalanannya dengan lancar." Berkali-kali. Tiada apa yang aku harapkan, kecuali pertolongan dari Allah di atas Rahmat dah Rahim nya. 

Aku mengejar masa. Sebelum pukul 1, aku mesti sampai! Hujan tidak henti-henti, bahkan makin lebat. Fikiran aku berkecamuk, memikirkan kenapa Allah tidak maqbulkan doa aku? Memikirkan masa yang tidak jemu menghambat aku. Bahkan terus menerus menghambat aku! "Ya Allah, aku hamba Mu yang hina, aku ahli pendosa, aku ahli maksiat, aku ahli yang lalai, ampunkanlah aku Ya Allah, ampunkanlah aku." Aku terus berdoa dan mohon pengampunan dari Nya. 

Alhamdulillah, akhirnya aku tiba di destinasi aku jam 12.40. Baju dan seluar basah lecun. Aku mengambil nombor giliran tanpa menghiraukan pandangan orang. Biarlah apa kata orang, asalkan urusan aku selesai! Desas hati aku. Nombor giliran aku 8314, dan nombor ketika itu 8271! 43 orang lagi?! Di saat aku pasrah, hampir seorang hamba Allah, memberikan aku sekeping kertas, nombor giliran! 8. 2. 8. 4. Satu persatu aku melihat nombor yang tertera. Subhanallah, 8284! Dan nombor ketika itu sudah pun berganjak kepada 8275, dan aku kira-kira masih berbaki 9 orang. 

Di saat aku pasrah, di saat aku terntanya-tanya di mana pertolongan Allah, di saat aku menanti doa aku di makbulkan, rupanya Allah tidak berikan apa yang aku doakan sebab Allah ingin berikan yang lebih baik bagi aku. Mungkin dengan hentinya hujan, akan memberi impak kurang baik bagi pekebun dan penanam pokok, sayur dan lain-lain! Maha Suci Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang terbaik buat hamba Mu! 

Urusan ku selesai sekejap cuma, Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Lalu aku pulang ke rumah menempuh perjalanan yang sama. Yang beza cuma perasaan aku sedikit gembira dan lega. Dan bezanya juga, aku tidak lagi mengejar masa!

Benarlah, nikmat Allah itu terkadang tidak Allah berikan berdasarkan permintaan kita. Terkadang Allah berikan tanpa kita sedari. Nikmat Allah itu dalam pelbagai, Allah berikan tanpa mengira sesiapa pun, tanpa mengira di mana pun, tanpa mengira masa. Bahkan nafas dan oksigen yang di sedut 24jam tanpa henti merupakan nikmat dari Allah!

"Maka nikmat Allah mana lagi yang engkau ingin dustakan?" 

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku, hanya untuk dan kerana Mu (Ya Allah), Tuhan Sekalian Alam!"


Wallahu'alam.. 



Friday, November 30, 2012

Bangga Diri (Takabur)



Bismillah...




(( فلا تزكوا أنفسكم ، هو أعلم بمن اتقى ))[1]

 “Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang bertaqwa”



Agama melarang akan sikap bongkak, merasa kita lebih baik dari orang lain. Manusia ini sebahagian besar kita ihat pada zahir nya dan kita tidak tahu tentang batin manusia. Kita lihat seseorang, kita rasa mungkin dia kurang baik dari kita dari sudut yang kita lihat. Tapi pada hakikatnya kita tidak tahu tentang hubungan dia dengan Allah. Barangkali sedekahnya lebih banyak dari kita. Mungkin istighfar dia lebih dari kita. Mungkin juga sujudnya lebih banyak dari kita. Mungkin dia lebih banyak qiam dan menangis serta menginsafi diri melebihi kita. Lalu Allah melarang hambanya mendabik dada mengatakan, “akulah yang terbaik di kalangan kamu!”, melainkan seseorang itu Rasul, kerana itu ketetapan bahwa baginda lebih bertaqwa dari kalangan kita.

Hatta Abu Bakr As-Siddiq r.a, apabila beliau naik menjadi Amirul Mukminin, dia menyebut : 

 [2] فإني قد وليت عليكم ولست بخيركم...

“ Sesungguhnya aku di lantik menjadi pemimpin di kalangan kamu, aku bukan yang terbaik di kalangan kamu...”


Itulah akhlak yang dididik oleh Rasulullah kepada para sahabat. Tawadhu’ dan zuhud. Merendah diri. Tidak membanggakan diri. Kadangkala, sekiranya kita baca sejarah para sahabat, para tabi’in, yang terdiri dari mereka yang soleh, terkadang kita rasa semua itu cerita dongeng dibandingkan dengan kehidupan kita yang sia-sia ini. Itulah keajaiban mereka. Akhlak yang ajaib. Budi perangai yang ajaib. Pengorbanan dan kecintaan kepada agama dengan kadar yang sangat ajaib. Yang mungkin tidak akan dapat dibenarkan oleh akal yang tidak pernah mengenali apa yang di katakan halawatul iman. Manisnya iman!


Namun, perlu ingat akan kata-kata Ibnu Ato’illah dalam kitabnya Al-Hikam, :-


(( من أثبت لنفسه تواضعا فهو متكبر حقا ، إذ ليس التواضع إلا عن رفعة ، فمتى أثبت لنفسك تواضعا فأنت المتكبر ))[3]

“ Barangsiapa yang mengisbatkan (mengatakan) dirinya adalah seorang yang bertawadhu’ (merendah diri), maka dia sebenarnya adalah seorang yang membesarkan diri (takabur), kerana tiadalah tawadhu’ itu melainkan mengangkat diri (takabbur). Maka apabila engkau mengisbatkan (mengatakan) dirimu sudah bertawadhu’, engkau (pada hakikatnya) adalah orang yang membesarkan diri (takabur). ”


Alangkah selamatnya jika ia diharamkan terdiri dari dosa –dosa kecil, akan tetapi takabur itu termasuk dari dosa-dosa yang besar! Moga Allah mengampunkan segala dosa-dosa kita, amin!


[1] . Surah An-Najm, ayat 32.
[2] . Khutbah Abu Bakr As-Siddiq ketika pertabalannya sebagai Khalifah - (11 Hijrah)
[3] . Kitab Syarah Hikam Al-Imam Ibn Ato’illah As-Sakandari – No. 238, m/s : 226 – Dar Ibn Kathir, Damshiq - Beirut

Wednesday, November 28, 2012

Politik Diri (Siasatu An-Nafs)



Bismillah..






Politik menjadi suatu isu utama pada suatu negara. Cara untuk memerintah, cara untuk mentadbir dan sebagainya. Saban hari kita mendengar pelbagai mehnah, perangai dan celoteh politik dunia. Namun ramai antara kita lupa untuk bersiasah dengan diri sendiri. Berpolitik dengan diri sendiri sebelum berpolitik dengan orang lain. Padahal itu suatu perkara yang lebih utama.

Jiwa ini juga mesti kita uruskannya, supaya kita dapat pujuk ia kearah lebih baik. Setiap hari kita pujuk jiwa kita kearah lebih baik. Orang arab, mereka membawa unta merentasi padang pasir. Makin lama, unta menjadi makin penat, dan akan ada orang yang bernyanyi , dengan lagu yang unta itu suka. Lagu itu memberi ransangan kepada unta untuk teruskan berjalan.  Macamtulah juga dengan jiwa kita. Memang untuk menghadapi kehidupan dan mehnah kehidupan, ia suatu yang memenatkan dan meletihkan. Tetapi kita perlu memujuknya dengan sesuatu yang dapat menyebabkan keletihan itu di lupakan dan kita dapat bangkit dan terus berjalan menghadapi kehidupan. Dan meneruskan perjalanan ini sehingga suatu destinasi yang telah Allah tetapkan dan tentukan

Perjalanan hidup ini sebuah kembara, dan kita tidak tahu bila ia akan berhenti. Kita melakukan sesuatu setiap hari, melangkah dan terus melangkah menghadapi kehidupan, dan jiwa manusia bagaikan roda. Kadang – kadang ia naik, kadang-kadang ia menurun. Kata Umar Ibnu Khattab r.a : “Sesungguhnya jiwa ini ada ketikanya ia meningkat, dan ada ketikanya ia turun, apabila ia bangkit, maka banyakkanlah amal (sunat), tapi apabila ia dah turun, peganglah ia dengan fardhu (kewajipan).”

Banyak benda yang kita mesti atur, tentang diri kita ini, supaya kita dapat susun ia. Sebab itu apabila Rasulullah dengar Abdullah bin ‘Amr solat malam tanpa henti, baginda berpesan dan menasihatinya : “Jika engkau melakukan perkara itu, engkau akan melemahkan matamu (tidak segar) dan membosankan dirimu. Untuk diri mu ada hak, dan untuk keluarga mu ada hak, untuk Tuhan mu (Allah) ada hak, dan berikan pada setiap yang berhak itu akan haknya.”

Maka, ketika mana jiwa kita naik dan meningkat, perbanyakkanlah perkara nawafil (sunat) seperti solat sunat, sedekah, berpuasa dan seumpama dengannya. Ketika mana jiwa kita menurun, peganglah ia, supaya ia tidak jauh dari perkara-perkara fardhu (wajib) seperti solat 5 waktu, berpuasa (bulan ramdhan), menunaikan zakat dan seumpama dengannya. Sempena tahun baru hijrah ini, hijrahkan diri kita ke arah yang lebih baik. Moga Redha dan Rahmat Allah sentiasa bersama kita! Amin!

Sunday, November 25, 2012

Thalaq (2)



Bismillah..

Sememangnya penceraian merupakan perkara yang sebolehnya kita nak elak dalam rumah tangga. Namun, kita tidak boleh untuk mengharamkannya, kadangkala ia membantu, memberi jalan keluar yang terakhir bagi pasangan yang punya masaalah yang tiada penyelesaian.Sekiranya terjadi penceraian, kecoh dan bising satu kampung, bahkan satu negara sekiranya yang bercerai itu artis! Kebiasaan penceraian berlaku akibat pergaduhan, walaupun isu yang kecil, boleh jadi sebesar Tsunami. Ada satu perkara kita perlu perhatikan dan titik beratkan. Tolak ansur! Namun, kerapnya berlaku kerana curang. Pernah saya terbaca di internet, orang yang curang memiliki IQ yang rendah. Kasihan!


Syarat – Syarat Thalaq

Baligh

-          Jumhur ulama’ mengatakan sekiranya suami tidak baligh maka tidak sah thalaqnya.
Sabda Rasulullah : 


(( رفع القلم عن ثلاثة : عن المجنون المغلوب على عقله حتى يبرأ و عن النائم حتى يستيقظ و عن الصبي حتى يحتلم ))[1]

“Terangkatnya qalam (catatan dosa pahala) bagi 3 golongan : orang yang gila sehinggalah berakal, orang yang tidur sehinggalah terjaga, dan bagi yang tidak baligh sehinggalah baligh.”




Berakal
-             
         - Khilaf ulama’ sekiranya suami thalaq isteri ketika mabuk.

    - Sekiranya mabuk di sebabkan bukan keinginannya (di khianati orang) maka tidak sah thalaqnya. 
      
    - Sekiranya mabuk itu disebabkan keinginannya/sengaja (minum arak/dadah), khilaf ulama’ pada masalah tersebut. Yang paling rajih (tepat) daripada pandangan ulamak ialah, tidak sah thalaq tersebut disebabkan orang yang mabuk tidak mengetahui apa yang di bicarakannya.


[2]((وَقَالَ عُثْمَانُ لَيْسَ لِمَجْنُونٍ ، وَلاَ لِسَكْرَانَ طَلاَقٌ. ))

 “Berkata Uthman : Tiada thalaq bagi orang gila dan mabuk”
-      - Sekiranya thalaq ketika marah, Sheikh Ibnu ‘Abidin dan Sheikh Ibu Qayyim membahagikan marah kepada 3 jenis, iaitu marah yang sedikit (sah thalaqnya), marah yang keterlaluan (tidak sah thalaqnya) dan marah yang pertengahan (khilaf para ulama’ dalam hal ini). Jumhur ulama’ 4 mazhab mengatakan sah thalaqnya.




Lafaz Thalaq        

 - Sekiranya melafazkan thalaq tanpa niat, jumhur ulama’ mengatakan sah thalaqnya walaupun tanpa niat. Firman Allah : 

[3]((وَلَا تَتَّخِذُوا آيَاتِ اللَّهِ هُزُوًا))

“ Janganlah kamu menjadikan ayat-ayat (hukum) Allah sebagai ejek-ejekan (mainan).”
-       

            - Sekiranya lafaz kepada diri sendiri tanpa ada sesiapa yang mendengarkannya, jumhur ulama’ mengatakan tidak sah.
      - Sekiranya tersalah cakap dan tidak berniat, jumhur ulama’ mengatakan tidak sah thalaq nya. Sabda baginda Rasulullah :

[4]((إن الله تجاوز عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه))
“ Sesungguhnya Allah mengampunkan  bagi umatku yang tersalah dan terlupa dan bagi yang di paksa”



Tidak dipaksa
-            
   
       - Jumhur ulama’ mengatakan tidak sah thalaqnya sekiranya suami di paksa. Sabda baginda Rasulullah :

[5]((إن الله تجاوز عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه))

“ Sesungguhnya Allah mengampunkan  bagi umatku yang tersalah dan terlupa dan bagi yang di paksa”


Sabda Rasulullah :
[6]((إنما الأعمال بالنيات ...  ))

“Sesungguhnya segala amalan bermula dengan niat..”


[1] . Hadis ini SOHEH disisi Sheikh Al-Albani – lihat hadis 3512 dalam kitab الجامع الصحيح.
[2] . Kitab الجامع الصحيح, juzuk 7, m/s 58.
[3] . Surah Al-Baqarah, ayat 231
[4] . Riwayat Ibnu Majah – SOHEH di sisi Sheikh Al-Albani
[5] . Riwayat Ibnu Majah – SOHEH di sisi Sheikh Al-Albani
[6] . Riwayat SOHEH Bukhari dan Muslim